Monday, September 1, 2008

Peristiwa Sepanjang OGOS 2008.





29 - 30 Ogos 2008. Program Perkhemahan Ibadah. Unit Beruniform 2008. SK. Desa Putra.
Pengenalan: Murid-murid yang berinovasi dan berdaya saing dalam mencapai matlamat untuk berjaya dalam kehidupan dunia globalisasi hari ini bukan sahaja bergantung kepada akademik semata-mata, malahan kerohanian dan sahsiah diri juga perlu diambil kira sebagai batu loncatan untuk merealisasikan impian mereka. Program perkhemahan Ibadah Unit Beruniform ini merupakan salah satu program yang bersesuaian bagi membantu para pelajar meningkatkan jati diri mereka ke arah kecemerlangan diri baik dari segi akademik mahupun sahsiah diri.
Objektif:
1. Melatih pelajar-pelajar menjadi pemimpin pada masa depan.
2. Memantapkan pemikiran pelajar.
3. Melahirkan pelajar yang bertakwa dan mempunyai kekuatan rohani dan jasmani serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana , rasional dan praktikal.
Tema: Kemantapan Diri Keunggulan Peribadi
Anjuran Bersama : Unit Kokurikulum dan Bimbingan dan Kaunseling SK. Desa Putra.
Tenaga Pembantu : Guru Pelatih KPLI, Institut Perguruan Islam Selangor.
Program berjalan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menyumbangkan tenaga dan idea dalam mengendalikan aktiviti ini.







30 Ogos 2008. Guru-guru SK. Desa Putra telah mengikuti Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan ( LADAP ). Kursus tersebut mengenai Penyelarasan Penataran Jadual Spesifikasi Ujian ( JSU )di Bilik Mesyuarat SK. Desa Putra jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Penceramah yang dijemput untuk memberi ceramah ialah Pn. Norita bt. Mohd. Yusof. Penglibatan yang menyeluruh dan sepenuhnya oleh guru-guru SK. Desa Putra amat meyakinkan. Diharap pada ujian semester yang akan datang guru-guru dapat mengaplikasikan JSU ini.









29 Ogos 2008 ( Jumaat ). Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah telah diadakan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang hari tersebut ialah;
1. Majlis Bacaan Yassin
2. Senam Robik
3. Nyanyian dan Laungan Kemerdekaan
4. Bacaan Perutusan Hari Kemerdekaan
5. Pertandingan Melukis Hari Kemerdekaan.
Keseluruhannya sebagai warga SK. Desa Putra dan warganegara Malaysia sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke - 51 pada tahun ini berjalan dengan meriah sekali. Inilah masanya kita mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita. Bukan senang nak jadi senang seperti sekarang. Sebagai rakyat Malaysia marilah kita bertekad dan mengekalkan keazaman serta bersatu padu untuk mengekalkan kemerdekaan yang kita miliki semoga kita hidup dalam keadaan harmoni dan makmur.
MERDEKA...MERDEKA... MERDEKA...


28 Ogos 2008 ( Khamis ). Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat untuk pelajar-pelajar Tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan telah diadakan di Masjid Kampung Desa Putra. Majlis tersebut dianjurkan bersama di antara SK. Desa Putra dan SRA. Desa Putra. Semua guru-guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar Tahun 6 terlibat.



Program Anak Pedalaman Peringkat Kebangsaan. Gambar kontinjen dari Selangor.Peserta dari SK. Desa Putra, Hasanudin b. Mohd. Hatta no 5 dari kiri.



16 - 19 Ogos 2008. ( 4 hari 3 malam )Seorang pelajar dari SK. Desa Putra telah terpilih bersama guru Bimbingan dan Kaunseling untuk menyertai PROGRAM ANAK PEDALAMAN Peringkat Kebangsaan di SMK Seksyen 18 Shah Alam. Seramai 200 peserta dari seluruh Malaysia terlibat termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak. Negeri Selangor telah menjadi tuan rumah. Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut ialah Lawatan Ke Muzium Telekom, Melawat Aquaria KLCC, Menaiki Eyes On Malaysia, Melawat Petrosains dan Mengikuti Bengkel Go Kart. Pada sebelah malamnya pelajar-pelajar dihidangkan dengan persembahan Jong-Jong Inai. Dari temu bual bersama pelajar-pelajar yang terlibat, semuanya memberi respon yang baik dan mengatakan program tersebut sungguh menyeronokkan. Kalau boleh nak datang lagi...



16 - 24 Ogos 2008 Cuti sekolah. Sepanjang cuti, Sk. Desa Putra telah merancang program Kelas Tambahan Tahun 6. Ianya bermula pada hari Isnin hingga Khamis. Guru-guru telah ditugaskan secara bergilir mengajar pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR dan 9 September 2008. Dengan adanya kelas tambahan tersebut diharapkan adanya pengisian sepanjang seminggu bercuti.