Tuesday, August 12, 2008



Kata-kata nasihat dari Guru Besar kepada pelajar-pelajar sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Hari ini 12 Ogos 2008 Ujian Setara UPSR ( Percubaan ) Peringkat Negeri Selangor telah diadakan. Bagi pelajar-pelajar Tahun 6, peperiksaan percubaan ini adalah kali ke dua sebelum pelajar menduduki peperiksaan sebenar pada bulan September nanti. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Diharapkan semua telah bersedia. Cikgu harap semua kelengkapan sudah lengkap. Pistol, senapang dan meriam telah diberikan untuk berjuang cuma pelajar-pelajar sahaja diminta untuk menggunakannya. Kalau berani, bersemangat dan tidak gentar... lautan api boleh diredah. Berjuanglah habis-habisan untuk mendapat 5A. Semua akan bangga di atas kejayaan anda.

Untuk makluman ibu bapa, sebelum menduduki peperiksaan pelajar-pelajar disediakan sarapan pagi dan makan bersama-sama di kantin. Dengan adanya makanan tersebut diharapkan pelajar-pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya apabila menjawab kertas soalan. Selama 3 hari berturut-turut pihak sekolah menyediakan sarapan pagi.

Selain daripada itu pelajar-pelajar juga di tempatkan di bilik peperiksaan mengikut kedudukan sebenar semasa UPSR. Duduk mengikut angka giliran di meja masing-masing. Dengan adanya angka giliran dan duduk mengikut tempatnya, pelajar-pelajar dapat merasai situasi peperiksaan sebelum mennjelang UPSR sebenarnya.

Kepada ibu-bapa yang ingin melihat jadual waktu peperiksaan ini klik di sini.